Sunday, September 20, 2009

Punca-punca berlakunya vandalisme dan langkah-langkah untuk mengatasinya

Apakah maksud vandalisme? Menurut Kamus Dewan, vendalisme didefinisi sebagai perbuatan merosakkan dan memusnahkan kemudahan awam. Mengapakah ada anggota masyarakat yang sanggup berbuat demikian? Adakah masyarakat, khususnya golongan remaja tidak juga sedar akan kesusahan yang ditanggung oleh orang lain?

Apabila membangkitkan masalah ini, kita perlu mencari punca hingga akar umbi. Sebab utama ialah mereka ingin meluahkan rasa terbuka atau tekanan perasaan. Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini dibarat bagai kera diberi bunga.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya tidak boleh dipandang remeh dalam menyebarkan budaya negatif ini. Kebanyakan masa terluang remaja akan dihabiskan untuk bergaul dengan rakan sebaya. Pergaulan seseorang akan menentukan sahsiah diri seorang. Keadaan ini dapat dijelaskan melalui pepatah berikut, "jika seseorang itu berkawan dengan penjual minyak wangi, maka keharumannya akan dirasainya. Jika dia berkawan dengan si tukang besi, maka percikan api akan mengenai dirinya juga".

Kita perlu memperhalusi punca masalah yang dibangkitkan untuk mengatasi masalah vandalisme. Ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk membendung gejala ini. Mereka harus bersikap lebih prihatin dan mengambil berat tentang anak. Ibu bapa patut dijadikan model dan mendidik anak-anak mengamalkan amalan murni sejak kecil lagi. Ibu bapa harus memberi teguran terhadap anak-anak yang melakukan vandalisme supaya mereka tidak terus bersalah.

Di samping itu, peranan sekolah tidak dapat dinafikan dalam apa jua masalah yang melibatkan remaja. Warga Malaysia dididik menjadi insan yang mempunyai jati diri, berilmu dan beramal. Guru-guru menerapkan nilai-nilai murni dalam pengajaran di kelas. Sekolah wajar mengenakan hukuman setimpal terhadap sesiapa yang melakukan vandalisme di sekolah. Dalam waktu yang sama, aktiviti kempen, pertandingan kelas terbersih sekolah perlu dijalankan secara lebih kerap.

Gejala vandalisme akan menimbulkan pelbagai kesukaran kepada anggota masyarakat. Kita seharusnya menghargai kemudahan awam yang disediakan supaya dapat menggunakannya pada waktu kecemasan. Oleh itu, semua pihak patut menggembleng tenaga untuk mengatasi masalah ini demi kesejahteraan masyarakat.

1 comment:

  1. Saya ambil sikit maklumat dekat sini. Terima kasih ya :)

    ReplyDelete